Monday, January 12, 2009

14:: ‘Untukmu Palestin’ dedah isu sebenar -SINAR HARIAN

TAMAN TASIK TITIWANGSA – Jawatankuasa Kebajikan Siswa Siswi Kolej Tun Syed Nasir (Jaksa KTSN) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan program ‘Untukmu Palestin’ bagi memupuk kesedaran orang ramai berhubung isu Palestin selama dua hari bermula kelmarin dan semalam. Pengarah programnya, Ahmad Tantawi Jauhari Aktifanus berkata, program terbabit diadakan sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan masyarakat Palestin serta mengutip dana bagi meringankan beban rakyat negara tersebut yang mengalami pelbagai sekatan dan kekejaman di tanah air mereka sendiri. Menurutnya, Jaksa KTSN menggunakan pendekatan berbeza dengan mengadakan aktiviti yang disukai oleh orang ramai bagi menarik perhatian untuk memahami apa sebenarnya yang berlaku di Palestin. “Biasanya forum dan ceramah yang diadakan, justeru kami lari dari konsep kebiasaan yang digunakan dengan mengadakan program yang dipenuhi pelbagai aktiviti antaranya larian amal ‘Walk For Peace’, pameran ‘Kembara Derita Al-Quds’, ekspo jualan, gerai klinikal pergigian dan perubatan, pertandingan mewarna, futsal dan konsert keamanan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Beliau berkata, pihaknya telah menubuhkan Tabung Amal Palestin sejak Oktober lalu dan setakat ini ia berjaya mengumpul wang sebanyak RM17,000 dan jumlah itu dijangka bertambah menjadi RM20,000 selepas program berkenaan berakhir. “Kami menyasarkan 3,000 pengunjung untuk program selama dua hari ini dan selepas ini kami akan fokus untuk mengadakan ‘roadshow’ ke institusi pengajian tinggi (IPT) terdekat pula,” katanya. Ahmad Tantawi berkata, isu Palestin perlu diangkat pada setiap masa dan bukan hanya sesuatu masa sahaja kerana ia adalah untuk memberikan pemahaman yang jelas kepada orang ramai di mana Jaksa KTSN sentiasa membuat penyelidikan serta mengumpul maklumat mengenainya. Katanya, bagi umat Islam isu itu sangat sensitif kerana Palestin merupakan tempat yang disucikan kerana pernah berlaku peristiwa besar seperti Israk Mikraj. “Saya berpendirian bahawa kekejaman yang telah dilakukan oleh Israel kepada rakyat Palestin sejak 1948 adalah salah, sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan. “Apa pun alasan yang Israel berikan untuk menyerang Palestin ia tidak boleh diterima dan seluruh umat manusia yang merasakan hak asasi mereka dicabuli harus bersatu untuk menentangnya,” katanya. Bagaimanapun menurutnya, masalah di Palestin bukanlah merupakan isu yang eksklusif untuk umat Islam sahaja kerana ia melibatkan agama lain juga. “Justeru pencabulan secara kejam hak-hak asasi manusia itu harus diberi perhatian berat tanpa mengira sempadan kaum dan agama. “Program ini memberikan pendedahan, kefahaman dan peluang kepada orang ramai khususnya warga Kuala Lumpur untuk menunjukkan sokongan serta keprihatinan mereka tentang isu ini selain berpeluang memberi sumbangan secara langsung kepada penduduk Palestin,” katanya.



No comments: